Ombak Rogol

Ombak Rindu dan Kaunter-revolusi Perjuangan Wanita Malaysia Kontemporari

Nota: Di atas permintaan Saudari Norhayati Kaprawi, rencana bertajuk Ombak Rindu and the Counter-revolution of Contemporary Malaysian Women’s Struggles telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia.

“Takkanlah setiap filem itu perlu menceritakan kisah wanita melawan kembali dan ghalib… Jika anda semua inginkan kisah benar yang 100% tepat, sila tontoni dokumentari.” - Maya Karin, pelakon.  The Star (21st April 2012).

Pada zaman kontemporari ini – di mana watak fiksyen Katniss Everdeen yang bertegar hati untuk melindungi keluarganya walau apa cara sekalipun telah mencetuskan suatu revolusi yang membalikkan empayar Panem, kehidupan sebenar wanita-wanita Arab Saudi yang tekad memperjuangkan hak untuk memandu tanpa diiiringi oleh wali lelaki, dan Slutwalk telah menjadi suatu fenomena global – semestinya anda hairan mengapakah wanita Melayu masih berdiri pasif mendiamkan diri dalam gerakan jantina (atau kesetaraan gender) dewasa ini. Kenyataan Saudari Maya Karin hanya berjaya membuktikan hakikat buruk bahawa Malaysia sedang mengalami kontra-revolusi jantina yang kian meningkat.

Ucapan dangkal Saudari Maya Karin ini bukan sahaja kurang sensitif, tetapi juga berbaur kejahilan yang menggemparkan, malah menggemai sentimen kebanyakan individu yang berfikiran seiras dengan beliau di Malaysia.

Ramai yang lantas bertindak membela beliau telah menegaskan bahawa Saudari Maya Karin tiada pilihan lain selain daripada meneruskan usahanya untuk mempromosikan filem beliau. Apa lagi yang boleh dikatakan oleh beliau sebagai salah seorang daripada mereka yang telah melaburkan diri dalam penghasilan Ombak Rindu?

Saya kurang bersetuju. Saudari Maya Karin ada banyak peluang untuk berbincang mengenai peranannya sebagai Izzah, isteri pukulan yang sering dizalimi oleh Hariz si perogol kacak yang buas dengan lebih mendalam. Beliau mempunyai kuasa dan hak keistimewaan sebagai selebriti yang ternama yang membolehkan beliau untuk memulakan suatu perbincangan genting dan menarik tentang watak seorang wanita yang terperangkap dalam suatu perhubungan yang kejam. Seorang wanita yang hanya memperolehi pilihan yang amat terhad. Seorang wanita yang jelas menderita daripada gabungan Sindrom Stockholm dan Sindrom Wanita Didera.

Saudari Maya Karin ini bukannya calang-calang orang. Beliau merupakan seorang wanita kelas menengah atas yang berpendidikan. Sewajarnya, memegang peranan Izzah patut memberi beliau tinjauan yang lebih mendalam agar beliau memperolehi iktibar, bukan inspirasi. Apa yang amat mengecewakan adalah menyaksikan kelancangan Saudari Maya Karin yang seperti endah-tak-endah sahaja. Dengan tidak semena-menanya, beliau menjadi seorang pembela rogol. Komentar lalai beliau begitu mudah meremehkan kerogolan Izzah sebagai hanya sebuah fantasi sahaja. Bahawa Ombak Rindu itu, “…adalah hiburan semata-mata.” Dalam sekelip mata sahaja, Saudari Maya Karin telah memperlekehkan agensi dan hak wanita – beliau mengundurkan segala usaha yang dipelopori oleh pertubuhan-pertubuhan wanita di negara ini untuk memerangi keganasan seksual dengan ulasan lewa beliau.

Kapak tak boleh membelahkan kayu, kalau bukan kayu yang menjadi hulunya, bukan?

Ternyata bahawa Saudari Maya Karin gagal menyelidik peranannya sebagai Izzah dan bahan sumber inspirasi filem Ombak Rindu dengan lebih teliti. Apa yang menarik adalah ulasan sinis Saudari Juana Jaafar baru-baru ini telah mendorong seorang tetamu yang tidak dijangkai – Saudari Fauziah Ashari, penulis sebenar yang bertanggungjawab mempena novel Ombak Rindu yang asal. Tatkala Saudari Maya Karin leka meremehkan Ombak Rindu sebagai “hanya semata-mata fiksyen dan fantasi”, Saudari Fauziah Ashari membuat pendedahan yang menggerunkan bahawa kisah Ombak Rindu itu sebenarnya berdasarkan peristiwa sebenar.

Hanya fiksyen dan fantasi sahaja? Nampaknya bau busuk tiada berbangkai.

Keganasan seksual di Malaysia merupakan satu fenomena harian. Menyifatkan rogol sebagai hanya fiksyen atau fantasi semata-mata bukan sahaja mempersendakan pengalaman sebenar mangsa rogol, tetapi juga melewakan peranan yang dimainkan oleh si penjenayah.

Saya tiada niat untuk menggalakkan penapisan yang berat ke atas adegan rogol dalam filem dan buku-buku. Saya sebenarnya menentangi penapisan. Walaubagaimanapun, saya ingin menekankan bahawa isu rogol ditayangi di pawagam perlu dikaji dengan lebih teliti. Konteks Ombak Rindu adalah isu asas dalam perbincangan ini. Ombak Rindu membudayakan taksiran rogol sebagai perbuatan yang romantis. Budaya rogol (rape culture) merupakan suatu patologi yang berakar umbi di dalam masyarakat Melayu.

Menerusi komentar yang ditujukan kepada Saudari Juana Jaafar, Saudari Fauziah Ashari membuat pengakuan bahawa pembikin filem telah mengambil alih segala kuasa kreativiti dan hak cerita daripada beliau. Disebabkan saya sendiri tidak pernah membaca novel itu tersebut, saya tidak mampu membuat ulasan lanjut mengenai matlamat dan niat asas si pengarang. Walaubagaimanapun, yang pasti, budaya rogol telah diteguhkan dan digayakan dengan sangat hebat oleh pihak pembikin filem. Malah, apa yang lebih menarik lagi adalah kedua-dua pengarah dan pengeluar filem Ombak Rindu itu adalah lelaki. Apa yang lebih menakjubkan lagi adalah hakikat bahawa beribu-ribu wanita Malaysia telah berduyun-duyun pergi ke pawagam untuk menangis dan mengeluh “Betapa romantiknya!” kisah syahdu Ombak Rindu.

Menerusi perbincangan baru-baru ini, didapati bahawa obsesi dengan “perkahwinan kontrak”, “kahwin paksa” dan “rogol perkahwinan” kian meningkat di kalangan pembaca wanita muda Melayu. Yang lebih menggemparkan lagi adalah kisah-kisah unggul ini dipasarkan dalam bentuk yang sangat manis dan mempersonakan – pintalan songsang kasih sayang dan romantis yang berselindungkan agama Islam, keimanan dan kepercayaan nurani. Wanita sebagai mangsa digalakkan mendiamkan diri sebagai bukti kesyahidannya, kesolehahnya dan kasih sayangnya kepada teman hidup yang gemar memperkosa.

Perlukah kita sering diingatkan bahawa rogol itu adalah suatu perlakuan ganas? Rogol yang dipasarkan dalam bentuk cinta sesat bukan sahaja merbahaya tetapi juga meracunkan. Malaysia merupakan salah sebuah negara di mana 40% daripada penderaan domestik dan jenayah rogol tidak pernah dilaporkan. Perogol yang disabit sering diberi hukuman ringan yang kurang setimpal dengan kesalahan jenayahnya, malah ada juga yang berjaya berjalan bebas. Pernah diakui bahawa segelintiran anggota polis dan ahli media di tempat kejadian jenayah jarang memberi penghormatan yang berpatutan kepada mangsa jenayah seksual.

Saya sendiri pernah dengar suatu kisah daripada seorang pegawai polis dihormati tentang bagaimana seorang wartawan lelaki pernah membuat teguran biadap tentang saiz payudara mangsa yang dirogol kemudian dibunuh di suatu tempat kejadian di Kuala Lumpur, tatkala mengambil gambar mangsa. Semasa saya masih menuntut di bangku sekolah perubatan dahulu, saya sendiri telah menyaksikan bagaimana rakan sekelas saya, seorang pelajar lelaki yang juga dari Malaysia, membuat isyarat lucah ke arah faraj seorang kadaver wanita tatkala pembedahan diseksi sedang berlangsung. Kedua-dua insiden ini hanya membuktikan kewujudan keganasan ke atas wanita yang sistematik dan misogyny termaktub dalam amalan seharian di Malaysia.

Cinta dalam rogol itu dusta. Rogol adalah satu gejala gangguan psikologi – suatu tindakan terdesak angkara seorang lelaki lemah dan dayus yang mempunyai masalah psikologi yang sangat serius sehingga ia menjejaskan dia daripada menjalinkan hubungan yang membina dengan orang lain (Groth, 1979). Perogol secara lazimnya bertindak berasaskan kekerasan dan keberangan, bukan hawa nafsu atau daya keinginan sepertimana yang dipercayai ramai dengan meluas. Malahan, perogol sering menghadapi kesukaran dalam mengiktirafkan cinta atau belas kasihan, bahkan dia sendiri tidak berdaya mengalami sebarang rasa kesal kerana dia sememangnya tidak mampu untuk berbuat demikian.

Inilah sebabnya mengapa rogol tidak patut digalakkan mahupun ditonjolkan sebagai suatu ungkapan cinta atau seks. Rogol bukan seks – rogol itu adalah satu senjata ganas yang hanya bertujuan untuk melancarkan kebuasan seksual dan penyalahgunaan kuasa yang kejam. Natijahnya, rogol itu adalah satu kecederaan moral ke atas semua wanita – matlamat utamanya yang tunggal adalah untuk membuktikan bahawa wanita itu hanyalah ‘untuk’ lelaki: layak untuk dipergunakan, dikuasai, dianggap sebagai objek (Hampton, 1999).

Yang agak menghairankan, mengapakah wanita Malaysia bukan main ghairah menikmati kisah cerita ini pada kadar yang hingar-bingar. Mengapakah wanita-wanita ini enggan meneliti atau mencari isu dengan plot bermasalah kisah cerita Ombak Rindu? Adakah kerana mereka bercelaru dengan erti cinta? Adakah kerana mereka terlampau taksub dengan kepercayaan bahawa kuasa cinta sakti dan kejelitaan diri akan berjaya mengubah seorang jantan zalim kepada lelaki mulia dalam sekelip mata sahaja? Adakah kerana penonton wanita tidak mampu melihat pintas zahir Hariz si perogol kacak?

Malang seribu kali malang. Jantan yang memperkosa kini selama-lamanya diisytiharkan sebagai anti-wira layar perak Melayu yang romantis maha luar biasa.

Mungkin Saudari Maya Karin ingin mengganggap Izzah sebagai simbol inspirasi. Akan tetapi, bagi saya, wanita pasif yang jelas telah membuat pillihan untuk mendiamkan diri dan mematuhi lelaki yang seronok memperkosa dan mencabulinya berulang-kali sehingga dia boleh percaya bahawa rogol itu cinta bukanlah suatu ciri teladan yang ingin saya contohi mahupun sanjungi.

Rujukan:

  1. Groth, A. N. (1979). Men Who Rape: The Psychology of the Offender. USA: Perseus Publishing.
  2. Hampton, J. (1999). “Defining Wrong and Defining Rape”, in A Most Detestable Crime: New Philosophical Essays on Rape. Burgess-Jackson, K. (ed.). New York: Oxford University Press, pp. 118–156.
  3. Kanazawa, S. (2008). Why Do Some Battered Women Stay? Available: http://www.psychologytoday.com/blog/the-scientific-fundamentalist/200804/why-do-some-battered-women-stay. Last accessed 23rd April 2012.
  4. Whisnant, R. (2009). Feminist Perspectives on Rape. Available: http://plato.stanford.edu/entries/feminism-rape/#HarWom. Last accessed 23rd April 2012.

3 comments on “Ombak Rindu dan Kaunter-revolusi Perjuangan Wanita Malaysia Kontemporari

  1. Dalam realiti masyarakat Malaysia, pandangan saya berdasarkan asas yang sedia ada dalam sistem sosial iaitu kewujudan kelab malam yang boleh menjadi sarang maksiat. Cerita sebenar yang Fauziah Ashari cedok adalah seorang wanita (yatim piatu dan bergantung harap kpd Pak Chiknya sahaja, tiada saudara mara lain) yang dijual oleh pak chiknya kepada kelab malam (untuk melunaskan hutang) dan dibeli oleh peniaga kaya dari towkey kelab untuk dijadikan perempuan simpanan. Wanita itu adalah seorang perempuan Melayu Islam dan lelaki itu bukan Melayu dan bukan Islam. Wanita itu menulis dalam majalah bagaimana untuk keluar dari lembah hina tersebut. Itu cerita benar dalam tahun 1990an. Kisah yang terpinggir ini memang ramai yang selalu terlepas pandang.

    Memang benar dari kacamata Izzah dia dirogol. Hebatnya Fauziah Ashari dalam menulis novel Ombak Rindu dia pastikan pembaca menghayati Izzah sebagai mangsa rogol. TETAPI hakikat sistem sosial di Malaysia keadaan Izzah ketika itu bukan ROGOL di mata undang2 dan di mata pelanggan kelab seperti Hariz.

    Jika anda menjadi Izzah ketika itu… persoalan saya:
    1) Jika Izzah pergi buat laporan polis selamatkah dia?
    2) Jika dia lari selamatkah dia?
    3) Jika dia kembali kepada Pak Cik Taha adakah dia selamat?

    Naluri kita memang ingin melihat setiap orang yang bersalah itu diadili di muka pengadilan. Tetapi sistem siapakah yang kita turuti dalam perundangan sekarang? Sistem manusiawi. Jika manusia itu sendiri yang mencipta undang2 tersebut maka akan ada manusia lain yang boleh mengatasinya untuk kepentingan diri. Jadi, Izzah dalam keadaan yang paling rendah tarafnya telah berpaut pada akal dan iman untuk keluar daripada dunia yang tak rela dia lalui. (Tak seperti dalam kisah benar, dia merelakan dirinya menjadi jalang untuk beberapa tahun baharu sedar dan menulis kisahnya untuk mencari jalan keluar.)

    Fitrah setiap insan yang dijadikan tuhan mesti ada baik dan buruknya. Hariz (dalam filem) bersikap buruk dengan melanggan Izzah. Tetapi dalam novel Hariz tidak melanggan hanya membeli Izzah dari towkay kelab shj. Kemudian baharu Izzah mohon dikahwini agar tidak berdosa.

    Nilai murni Islam memang ada dalam novel seperti keberkatan menjaga dan melindungi anak yatim piatu. Kenapa kita gagal melihat nilai yang besar ini. Masyarakat kita melihat perkara ini remah sedangkan itulah asas dalam kehidupan, kasih sayang. Jika masyarakat sanggup merendahkan diri dan membela anak yatim piatu, kasih sayang akan bercambah dan mekar dalam seluruh sistem kehidupan.

    Seperti yang saya tegaskan bahawa filem OMBAK RINDU memang lari daripada mesej sebenar yang Fauziah Ashari telah lakarkan akibat peroduser gagal memberikan hak kawalan kreatif kepadanya. Tetapi masyarakat lebih melihat nilai kemanusia yang diselitkan pengarah maka filem ini diizikan allah untuk mengutip jualan tiket yang tinggi. Kehendak Allah juga ada yang melihat dari perspektif negatif dan pincang.

    Memang benar, pengarah berjaya menimbulkan ketidaksenangan di kalangan pluralis dan liberalis, tetapi jika hendak dikaitkan dengan realiti, para pluralis dan liberalis sendiri memilih untuk menyetujui sistem yang dilakar oleh manusia yang sentiasa ada kepincangan. Hanya peraturan ALLAH sahaja yang SEMPURNA maka kembalilah kepadaNYA.

    • Juga, saya ingin menasihati Saudara MAB supaya sila teliti Peraturan Rumah kami dengan cermat kerana Saudara sudah pun melanggari beberapa peraturan dan syarat-syarat rumah kami. Ini adalah amaran pertama untuk saudara.

      Ini adalah sebab kenapa saya hanya melepaskan dua daripada enam ulasan Saudara yang sudah masuk aturan komen kerana anda tidak mematuhi syarat-syarat berikut:

      Hak untuk ruang yang selamat bagi ahli-ahli yang ingin berbincang dan menerokai isu-isu yang berkaitan dengan feminisme dan keadilan sosial, terutamanya perihal yang melibatkan konteks Malaysia. Sementara Wikipedia mentakrifkan ruang selamat berdasarkan konteks QUILTBAG, kami menegaskan bahawasanya ruang selamat diaplikasikan dengan ketat ke atas konteks anti-perkauman, anti-seksis dan OKU (orang kurang upaya).

      Hak para pengulas, pembaca dan peserta blog untuk melibatkan diri dalam perbincangan yang berkaitan dengan isi kandungan dalam zine. Komuniti yang mantap diahlikan oleh para pengulas yang ghairah, bijak dan penuh kritikal yang mengelilingi Kakak Killjoy haruslah bernilai dan setimpal dengan para penyumbang yang berkualiti.

      Hak untuk para pengulas, pembaca dan peserta tidak akan tertakluk kepada penapisan (yakni pembuangan atau pengubahsuaian komen), melainkan jika ia tidak memenuhi syarat-syarat #1 dan #2.

      Kami tidak suka serangan peribadi. Mungkin anda tidak ingin mengancam peribadi seseorang, tetapi anda mungkin akan berhasrat untuk memperkecil-kecilkan mereka di ruang awam, mungkin sebagai cara untuk mendiamkan mereka atau mematikan jawapan mereka. Perkara itu tidak dibenarkan berlaku sama sekali di sini. Sekiranya anda merasakan bahawa pendapat seseorang itu tidak bernas, anda dibenarkan membuat kritikan yang membina terhadap beliau. Manakala “idea itu bodoh!” adalah jauh daripada ideal, sekurang-kurangnya masih boleh melepasi modsquad. ”Awak bodoh!” pula tidak akan dilepaskan dengan begitu sewenang-wenangnya. Sila beradab.

      Percubaan, tidak kiralah bermaksud baik macam mana pun, untuk mematikan perbincangan mengenai sesuatu, manakala dilayan (hampir), bukanlah sesuatu yang kami gemari. “Perkara ini tidak akan berubah,” akan menerima perasaan menyampah daripada pihak modsquad dan lazimnya tidak akan diendahkan. ”Anda sensitif” mungkin akan menyebabkan salah satu daripada ahli modsquad untuk menyahut benangan ulasan anda dan menjawab bahawa, sebenarnya, mereka tidak. ”Ia hanyalah perspektif; jika anda berfikiran positif, nescaya situasi akan pulih!” tidak akan memenangi anda sebarang sahabat handai di kalangan ahli-ahli modsquad yang sudah bosan mendengar nasihat sebegitu sejak kecil. ”Ini benda remeh, kenapa anda tidak boleh menikmatinya sebagai hiburan?” mungkin akan berakhir dengan ahli modsquad yang akan mengingatkan anda, atau menyekolahkan anda, tentang Hukum Moff.

    • Saudara MAB,

      Saudari Petra telah memohon agar saya menyampaikan mesej beliau kepada saudara:

      Kepada teman yang tulis bahawa Izzah telah “diselamatkan”, saya ucapkan terima kasih kerana mengambil masa untuk berkongsi pendapat. Saya harap penerangan di bawah memberi sedikit penjelasan kenapa saya tidak betapa setuju dengan pendapat itu.

      Saya pernah berkerja dengan mangsa-mangsa keganasan rumahtangga, rogol dan pekerja-pekerja seks bertaraf ekonomi rendah di Malaysia dan di luar negara. Bagi pekerja-pekerja seks, teman-teman kerja saya telah perhatikan bahawa kebanyakan dari mereka berkerja jauh dari kampung halaman untuk mengelakkan diri daripada dicam oleh orang yang dikenali.

      Jika boleh, mereka juga ingin keluar dari kerja ini kalau adalah peluang, kerana mereka sering mengalami keganasan fizikal dan seksual. Tambahanan lagi, mereka cenderung mengalami risiko-risiko penyakit kelamin berjangkit seperti HIV dan AIDS dari pelanggan yang tidak guna kondom. Memang saya setuju bahawa kerja seks dalam konteks ini memudaratkan hak kesamarataan lelaki dan perempuan dari segi gender.

      Pernah mereka menceritakan bahawa mereka tidak melakukan kerja ini semata-mata untuk menjadi kaya. Saya percaya kerja seks taraf ekonomi rendah tidak lumayan. Kebanyakan pekerja seks bertanggungjawab untuk menampung keluarga di kampung atau perlu berdikari di kota menerusi kerja yang tidak menuntut pendidikan tinggi.

      Berdasarkan kajian, kebanyakan penyelidik berpendapat bahawa keganasan itu bermula dari sudut pintu di mana dan apabila perempuan itu memasuki industri pekerjaan seks. Sekiranya kerja ini ‘dipilih’ kerana dia tidak mempunyai pilihan yang lain, ini sudah merupakan suatu keganasan kerana ia bukannya pilihan. Agak sukar sekali selepas ini untuk melepaskan diri daripada keganasan ke atas tubuh badan, emosi, mental dan fizikal perempuan. Ada ramai di kalangan pekerja-pekerja seks itu yang mempunyai suami seperti dalam cerita Ombak Rindu, tetapi nasib mereka amat berbeza sekali: mereka dibuang suami bersama-sama dengan anak untuk mencari kehidupan diri mengikut suka hati tanpa sebarang keinsafan langsung.

      Komuniti-komuniti pekerja seks yang didampingi pasrah dan ‘menerima’ situasi ini sebagai nasib mereka yang diberi Allah atau Tuhan (walaupun mereka pekerja seks, mereka tetap bersolat atau pergi gereja setiap minggu) kerana mereka ditindas oleh keluarga atau tidak ada pilihan lain langsung untuk menanggung anak sebagai ibu mandiri. Mereka menerangi kepada saya bahawa mereka memerlukan hak bekerja di mana mereka boleh bebas masuk dan keluar. Erti bebas masuk tidak semestinya membawa makna bahawa mereka ingin masuk atau menyokong perempuan muda lain masuk kerja seks (mereka khuatir berdasarkan risiko-risiko yang telah digariskan di atas) tetapi mereka harus ada pilihan kerja. Keluar itu bermaksud mereka memiliki kemandirian hidup dan keupayaan sebagai manusia untuk ‘menyelamatkan’ diri tanpa perlu bergantung kepada orang lain, walaupun ini adalah suami yang dikasihi.

      Sekiranya kita hidup dalam masyarakat di mana hakikat perempuan harus bergantung kepada lelaki, walaupun perempuan itu ingin mencari suami yang baik, nasibnya akan menjadi mudarat sekiranya suami tidak inginkan dia lagi ataupun meninggal dunia. Perempuan, seperti lelaki, juga perlu keupayaan diri seperti lelaki untuk berdikari agar boleh mengembangkan potensi.

      Saya percaya bahawa cerita seperti ini wujud di mana kasih sayang dan cinta boleh mengubah. Akan tetapi, apa yang membuat saya berasa khuatir adalah pengetahuan saya berdasarkan pengalaman kerja – kebanyakan wanita yang mengalami elemen situasi yang mirip atau ada persamaan dengan Izzah masih lagi hidup menderita. Cerita ini unik, tetapi tidak mewakili realiti untuk kebanyakan isteri yang hidup dalam keadaan penuh derita.

      Pada bulan lepas, saya telah diminta seorang isteri untuk mengajar dia bagaimana untuk menjaga kelakuan supaya suaminya tidak akan memukul dia lagi. Dia kuat bersolat – dia muda, cantik, tekun bekerja, rajin menjaga suami dan memelihara anak mereka dengan penuh kasih sayang, dia juga merupakan seorang anak dan menantu yang baik. Dia telah menolak ramai lelaki lain yang melihati kelebihannya dan berminat dengan kecantikan dan ciri-cirinya yang lemah lembut, kerana ingin berlaku setia kepada suami. Apalah kesalahannya di mana suaminya masih tidak ingin menginsafkan diri walaupun sudah beberapa tahun dia cuba mengubah diri – tetap setia dan bersabar Walaupun suaminya tidak? Saya risau dan tidak mahu melihat dia seperti klien saya yang lain – mereka masuk hospital kerana teruk dicederakan akibat hidup rumahtangga yang tidak tenteram. Malah, anak perempuan terpaksa belajar menerima keganasan dan menahankan diri sahaja, dan anak lelaki mempelajari bahawa masyarakat gemar menerima lelaki yang seronok menyalahgunakan kuasa terhadap isteri yang sepatutnya disayangi. Pernah juga wujud sebuah situasi di mana si suami akan memukul dan bertindak melakukan keganasan seksual terhadap isteri dan anak. Pelaku seperti itu memerlukan bantuan, dan perlu dihindarkan daripada orang yang sepatutnya dikasihi dan dijagai demi keselamatan mereka.

      Saya berharap ini akan memberi sedikit penerangan kepada saudara mengapa cerita Ombak Rindu ini tidak mewakili realiti hidup untuk para perempuan yang mengalami keganasan dan ingin lari mengeluarkan diri dari situasi mereka, tetapi tidak mampu kerana mereka tidak ada pilihan atau agensi. Daripada mengagungkan cerita ini sebagai realiti, kita harus mempraktikkan mesej bahawa kasih sayang itu boleh mengubah segalanya melalui tindakan yang boleh membantu perempuan yang masih berada dalam situasi memudaratkan. Saya ingin meminta maaf terlebih dahulu jika ucapan saya menyakitkan – ini bukan hasrat saya dan saya berharap agar ini menjelaskan pendirian saya kepada saudara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Connecting to %s